85% peratus kemalangan di Malaysia adalah kerana sikap dan cara pemanduan yang tidak berhemah. Lantaran itu, tidak dapat dinafikan lagi bahawa jalan raya di Malaysia merupakan sungai maut. Dengan sikap pemandu kita, secara tidak langsung menjadikan kenderaan senjata pembunuh yang paling kejam dan juga kenderaan lain perangkap maut yang tidak mengenal usia dan jantina.
Saya telah menyaksikan satu keluarga yang menjadi miskin dan perlu dibantu oleh Pusat Zakat kerana kehilangan tempat bergantung dek kerana kecuaian orang lain yang memandu secara merbahaya dan melulu. Isterinya yang selama ini suri rumah sepenuh masa, hanya mampu mengalirkan air mata mengenangkan dirinya yang tidak ada apa-apa sijil dan kemahiran bagi mencari nafkah bagi meneruskan hidup menyara 4 orang anak yang kini bergelar anak yatim.
Satu-satu motosikal milik keluarga ini telah rosak teruk kerana dilanggar oleh kereta kancil yang tidak patuh papan tanda “Berhenti” di simpang empat. Hati saya terasa sayu apabila ia menghantar 2 orang anaknya sekolah menaiki basikal sejauh 3 km. Oleh kerana basikal hanya mampu membawa seorang sahaja anaknya maka ia perlu mengulanginya semula untuk menghantar anak bongsunya ke sekolah di tahun 1. Keadaan ini memerlukan ia bangun awal daripada biasa menyiapkan sarapan untuk anak-anaknya dan menghantar anak-anaknya ke sekolah sebelum loceng masuk ke kelas berbunyi.
Mengayuh basikal tua dengan kudrat perempuan sejauh 3 km memerlukan masa 20 minit dan kembali semula ke rumah juga memerlukan 20 minit. Dengan ini bermakna ia memerlukan 80 minit untuk menghantar kedua- dua anaknya ke sekolah sebelum pukul 7:20 pagi. Ini bermakna anak pertamanya perlu bertolak dari rumah seawal 6 pagi.
Tersentuh hatinya ketika meninggalkan anak yang berumur 8 tahun di pintu pagar sekolah Mengalirkan air mata anak tersebut ketakutan bersendirian dalam suasana masih gelap gelita pada pukul 6:20 pagi. Meskipun berat hati meninggalkan anaknya, ia perlu pulang bagi mengambil dan menghantar anak bongsunya di tahun 1 ke sekolah.
Bertapa susahnya sang isteri, balu si suami yang terbunuh di jalan raya, menguruskan anaknya yang bersekolah pagi dan petang, melakukan kerja- kerja rutin membasuh dan menyajikan makanan untuk anak-anaknya yang sekali gus menghalang ia daripada mencari nafkah seperti bekerja di restoran, kedai runcit dan seumpamanya. Namun syukur alhamdulillah, pihak Zakat Selangor cepat menghidu kesusahannya.
Ada antara jirannya yang menceritakan masalah yang dihadapi oleh perempuan ini kepada orang yang telah melanggar arwah suaminya (juga seorang perempuan). Namun tanpa rasa belas ehsan ia menjawab,
“Sudah nasib dia, nak buat macam mana”